Tuesday, December 21, 2010



BACALAH DENGAN NAMA TUHANMU!
-----------------------------------------------------------------


Allah Itu Matlamat Kita
Al Quran Itu Pedoman Kita
Rasulullah Itu Qudwah Hasanah Kita
Jihad Itu Jalan Kita, Syahid Itu Semulia Cita-Cita Kita

Kejarlah cita-cita dengan istiqamah di dalam usaha, doa dan tawakkal. Walaupun kita tidak mampu memiliki kesempurnaan kerana kesyumulan itu adalah hak mutlak Allah ta'ala, tetapi teruskanlah usaha demi memurnikan ketaatan kepadaNya. Sesungguhnya keredhaan Allah adalah kejayaan yang paling besar -Srikandi Jilbab

Tinta emas buat hari ini :----------------------------------------------

---

14 JUNE 2010


Perisai Tujuh


Setelah berakhirnya cuti tujuh hari di kampung, hari ini saya kembali menghuni Kuala Lumpur. Alhamdulillah.

Resah sedikit terubat setelah wajah mulia bonda dan ayahnda dapat ditatap. Tenang datang semula setelah mendengar butir-butir hikmah dalam setiap kata-kata ayahnda dan bonda.

Saya masih belum sihat sepenuhnya, tetapi hari ini saya tetap kembali ke Kuala Lumpur untuk meneruskan perjuangan yang masih panjang dan berliku.

Perjuangan yang panjang dan berliku itu, akan saya tempuhi dengan perisai-perisai yang telah saya tempa dari hari pertama ke hari ketujuh.

Perisai-perisai yang tidak ternilai harganya itu.

Inilah dia Perisai Tujuh.


Perisai Satu : Gedebe Seorang Pejuang

5 jun 2010.

Tatkala kaki tergesa-gesa melangkah ke Gate A5 balai perlepasan domestik, saya terpandang susuk seorang lelaki yang sedang minum di kafe berdekatan. Wajah itu, wajah seorang pejuang. Wajah seorang pejuang yang sudah sebati kewujudannya di mata saya sebelum ini.

“Tuan Haji Mat Sabu,” saya memberanikan diri menegur tokoh politik Malaysia yang penuh kontroversi itu.

Tuan Haji Mat Sabu tersenyum manis. Dengan ramah mesra pula beliau menjawab salam saya dan tanpa segan mengajak saya duduk minum dan berbual-bual bersama beliau dan sahabatnya.

Saya memandang jam. Pelawaan beliau terpaksa saya tolak dengan baik, lantaran bimbang nama saya diumumkan oleh pramugari MAS kerana terlambat masuk ke dalam pesawat. Berbasa-basi dengan beliau buat seketika, saya lalu meminta diri. Mahu pulang ke Kelantan, saya memberitahu apabila beliau bertanya ke mana arah destinasi saya.

Tuan Haji Mat Sabu senyum lagi. Aneh, wajahnya ketika itu berbeza dengan wajahnya ketika di pentas ceramah. Melihat wajah beliau ketika itu, ada kejernihan dan kelembutan yang saya temui di sebaliknya. Aneh dengan sinar yang terpancar di wajahnya, kerana sebelum ini saya sangat mengenali beliau sebagai seorang yang amat “gedebe” di pentas politik.

Saya senyum mengerti.

Gedebe – ini istilah orang Kelantan bagi menyatakan betapa hero dan berani matinya seseorang manusia itu. Malah, istilah ini juga dianggap sama dengan samseng, mulut lancang, baran, dan sikap-sikap panas yang lain.

Bonda dan ayahnda saya gemar sekali memanggil Tuan Haji Mat Sabu ini sebagai “orang yang gedebe”. Tuan Haji Mat Sabu ialah tokoh politik yang "gedebe".

Bagi saya, gedebe itu tidak salah, asalkan ia digunakan dalam lingkungan konsep menegakkan agama Allah yang syumul. Tidak ada salahnya jika ada orang yang gedebe seperti ini dalam sesuatu kumpulan dakwah.

Sedangkan dalam perjalanan dakwah Nabi Muhammad, baginda bukan sahaja bertemankan Abu Bakar yang “lemah-lembut”, malah baginda juga diapit rapat oleh seorang sahabat lelaki yang sangat “gedebe”.

Singkaplah sejarah perkembangan islam di zaman Rasulullah. Siapakah lelaki “gedebe” yang berani keluar di hadapan khalayak masyarakat arab jahiliah, mengisytiharkan keimanannya kepada Allah secara terbuka, dan kemudian dengan berani bertanya siapakah yang berani membunuhnya kerana dia telah memeluk islam?

“Gedebe” benar lelaki itu. Tindakan mengisytiharkan keislaman secara terbuka di zaman itu adalah sesuatu yang sangat berbahaya, apatah lagi mencabar kaum jahiliah arab agar membunuhnya pula. Telah banyak kaum muslimin yang disiksa dan dihina hanya kerana keislaman mereka, tetapi lelaki itu memilih untuk mengisytiharkan secara terbuka akan ketauhidannya kepada Yang Esa.

“Gedebenya” lelaki itu, sehinggakan ketika itu tidak ada seorang pun arab jahiliah yang berani tampil membunuhnya, hatta Abu Jahal sekalipun. Beliau terus menyebarkan berita keislamannya, sehinggalah golongan jahiliyyah dan pemuka-pemuka arab hilang sabar dan datang memukulnya. Waktu itu, resah beliau akan ketidaksempurnaan islamnya berkurang, puas hati kerana akhirnya beliau telah menerima layanan yang sama seperti orang islam yang lain.

“Gedebenya” lelaki itu, sehinggakan beliau berjanji akan melindungi islam yang dicintainya itu sehingga ke titisan darah terakhir.

“Gedebenya” lelaki itu, sehinggakan ketika beliau menakhoda umat islam selepas kewafatan Rasulullah, empayar Islam meluas sehingga ke sebahagian Empayar Parsi, antara empayar yang terkuat ketika itu. Malah, Palestina juga menjadi jajahan pemerintahan islam di bawah pentadbiran beliau waktu itu.

Siapakah lelaki yang “gedebe” itu?

Dialah Umar Al Khatab. Dialah yang digelar Alfarouq, pembeza antara haq dan batil. Hebat gelarannya sesuai dengan sifat “gedebenya”. Lelaki inilah yang suatu masa dahulu memerangi islam hanya kerana sifat panas barannya yang tanpa usul periksa, tetapi kemudian jatuh cinta kepada islam, dan kemudian kerana "baran" dan "gedebenya" jugalah dia berada di barisan hadapan dalam menghadapi musuh-musuh islam yang cuba menghancurkan kesucian agamaNya.

Anehnya, di sebalik “gedebe” Umar Al Khatab, terselit sifat halus yang murni dalam dirinya.

Siapakah lelaki yang tidak silu-silu menangis apabila mengenangkan dosa lampaunya, menanam anak perempuan hidup-hidup, jika bukan Umar si “gedebe” itu?

Siapakah lelaki yang deras mengalir air matanya ketika membaca ayat ke 86 Surah Yusuf dalam Solat Fajarnya jika bukan Umar si “gedebe” itu?

Umar jugalah lelaki gedebe yang memukul bahu seorang sahabatnya yang bertanya tentang perkara remeh-temeh ketika beliau sedang sibuk bekerja, tetapi kemudian rasa berdosa dan tidak malu-malu segera memohon maaf dan meminta rakannya itu memukulnya kembali dengan cemeti. Malah, apabila pulang ke rumah, Umar menangis dan terus bersembahyang taubat agar Allah mengampuni dosa yang tidak disengajakannya itu.

Sesungguhnya “gedebe” Umar tidak pernah wujud di hadapan Allah yang mencipta jasad dan rohnya. Sebaliknya, Umar sentiasa tunduk kepada Allah, kerana Umar tahu, jika "gedebe" yang dijadikan ukuran kekuatan oleh manusia, maka sesungguhnya Allah itu lebih "gedebe" daripada sesiapa pun.

Umar tidak pernah tunjuk “gedebe” di hadapan Allah.

“Gedebe” Umar hanya wujud di hadapan musuh Allah!

Sesungguhnya Allah telah memakbulkan doa Rasulullah ini : “Ya Allah, kuatkanlah islam dengan Umar ataupun Abu Jahal!”

Dan Allah telah memilih Umar.

Justeru, dalam misi amar ma’aruf wa nahi mungkar zaman ini, mestikah semua cara dakwah kita “dilembutkan”?

Kadang-kadang apabila ada “gedebe” ini, barulah lengkap hikmah yang dicari. Berhikmah bukan bermakna bercakap dan mengingatkan dengan penuh lemah lembut sepanjang masa. Andai dengan satu tamparan boleh menyedarkan, maka tidak ada salahnya tamparan itu. Sebab biasanya bagi spesies manusia sebegini, nasihat lembut di telinga tidak akan diendahkannya, tetapi apabila dilemparkan bom ke telinga, barulah dia hendak mendengar.

Usah fikir terlalu jauh. Perhatikan sahaja anak-anak kita yang degil. Ditegur lembut agar sembahyang, tidak diendahkannya. Apabila kita menjerkah, barulah terjaga daripada kesilapan. Itu pun kalau sedar. Jika rotan juga tidak menjadi, maka akhirnya kepada Allahlah juga kita serahkan.

Kita yang menjerkah dan yang melemparkan bom ke telinga mereka ini bukannya kerana membenci. Tetapi kita yang menjerkah ini sangat mengasihi, kerana Allah sudah berpesan, hendaklah kita manusia ini sentiasa bersungguh-sungguh dalam mengajak kepada kebaikan.

Jika kepada anak, jerkah dan bom kita itu kerana mahu mendidik, manakala kepada rakan-rakan pula, jerkah dan bom kita itu kerana mahu membetulkan apa yang salah, sebelum kedegilan rakan-rakan menjadi barah yang merosakkan. Bukankah kita ini manusia biasa yang imannya seperti ombak di pantai yang ada pasang surutnya?

Tidak ada salahnya “gedebe”, asalkan “gedebe” kita seperti “gedebe” Umar Al Khatab.

Sebelum masuk ke pesawat, saya menelefon bonda dan ayahnda agar mereka menunggu saya di airport Pangkalan Chepa selepas 45 minit pesawat MH 1369 yang akan saya naiki itu berlepas.

“Bertemu orang baik-baik, itu perjalanan yang baik. Insya-Allah ada hikmahnya.” Itu kata-kata bonda dan ayahnda apabila saya sempat menceritakan pertemuan saya dengan Tuan Haji Mat Sabu yang “gedebe” itu kepada mereka.

Saya senyum sahaja.

Sesungguhnya hanya Allah yang maha mengetahui.


Perisai Dua : Jangan Ingat Mati Sekali-Sekala



Ini bukan kali pertama saya menaiki pesawat. Malah, sejak tahun 2008 lagi saya sentiasa memilih MAS atau Air Asia untuk pulang ke kampung. Apatah lagi jika outstation atas urusan kerja. Pengangkutan udara bukan sesuatu yang asing bagi saya.

Ya, ini bukan kali pertama saya berada di atas pesawat, tetapi demi Allah inilah kali pertama saya mengalami rasa ketakutan yang tidak terhingga.

Saat pesawat MH1369 bergegar hebat kerana merempuh awan tebal, dan ketika semua penumpang erat tangannya menggenggam mana-mana palang yang boleh menyokong badan daripada tersenget jatuh, ketika itu juga jantung saya seakan-akan mahu tercabut.

Ini kali pertama saya berhadapan dengan situasi cemas sebegini.

Selama ini, saya sengaja memilih pengangkutan udara untuk pulang ke kampung, demi mengelak daripada menaiki bas atau kereta adik beradik yang lain. Pemilihan ini bukan pemilihan yang dibuat suka-suka. Pemilihan ini dibuat kerana dua sebab utama.

Pertama, saya sudah tidak tahan menghadapi jalan sesak yang luar biasa sepanjang perjalanan pulang ke kampung di Kelantan. Kedua, kerana sebelum ini saya telah melihat secara live, satu kemalangan jalanraya yang amat menggerunkan.

Sebuah bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Kelantan, jatuh menjunam ke dalam sebuah gaung yang agak dalam.

Ketika itu, saya berada di atas kereta kakak saya. Kami dalam perjalanan dari Kelantan kembali ke Shah Alam. Ngeri melihatkan mangsa kemalangan tersebut, lalu sejak itu saya tidak pernah lagi pulang ke Kelantan dengan menaiki bas ekspres.

Tidak sekali-kali.

Ngeri, sehinggakan saya membayangkan seandainya seat MAS atau Air Asia telah penuh, maka saya akan lebih rela berpatah pinggang mengikut kelok Keretapi Ekspress Wau ke Tanah Merah daripada melayan rasa ngeri tatkala membayangkan badan saya menjunam jatuh ke gaung ketika berada di dalam perut Bas Ekspres Transnasional ke Kota Bharu.

Ketika pesawat MH 1369 bergegar lebih hebat, bayangan bas jatuh ke gaung terus padam. Saya beristighfar panjang. Mengingatkan ketika itu tubuh kerdil ini sedang berada beribu-ribu batu tingginya dari aras laut, saya mengentalkan zikir. Saat itu, gambaran mati mula mengejar-ngejar.

Jika pesawat itu jatuh, maka bahananya tidak ada beza dengan bas yang menjunam jatuh ke dalam gaung seperti yang saya lihat suatu masa dahulu.

Adakah saya mahu lari daripada kematian?

Tidak, kerana saya sedar, ketika pesawat MH 1369 itu merempuh awan tebal dengan gegaran yang hebat, ketika itu juga saya tahu saya sedang berhadapan dengan kemungkinan kematian. Malah tiap ketika, tiap detik, tiap saat, saya sedar saya sentiasa diintai kematian, yang entah bila akan kunjung tiba.

Kematian itu akan menjengah bila-bila masa sahaja. Tidak ada salam, tidak ada berita. Hanya bagi hamba Allah yang tinggi imannya, Allah mengurniakan kelebihan kepada mereka dengan mengetahui tanda-tanda kematian mereka yang semakin mendekat. Bak Imam Ghazali yang menyediakan kain kapan, mandi, berwudhuk dan membalut sendiri tubuhnya apabila dibisikkan Allah akan tanda bahawa ajalnya hampir tiba.

Maha suci Allah, Imam besar ini wafat ketika adiknya, Imam Ahmad Bin Hanbal membantu membalut kain kapan di bahagian wajah Imam Ghazali.

Bahkan, bak kematian insan yang paling mulia, baginda Rasulullah yang sempat meninggalkan pesan terakhir ketika tahu ajal baginda hampir menjelma. Di Lembah Uranah, baginda sempat menyampaikan wasiat terakhirnya yang agung, sebelum baginda pergi dijemput ajal yang dijanjikan Allah.

“Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara. Jika kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitulah Al quran dan sunnahku.”

Itu amanat mulia junjungan besar kita sebelum baginda dijemput kematian.

Sesungguhnya cara kematian yang baik itu hanya istimewa untuk insan-insan yang tinggi ketaqwaannya. Bagi orang-orang kafir dan orang-orang islam yang menyekutukan Allah dengan apa sahaja, tidak akan ada tanda, tidak akan ada khabar, sebaliknya nyawa mereka akan direnggut dengan kasar oleh malaikat maut, sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah.

Justeru, bagaimana pula cara kematian kita?

Kematian tidak wajar diingat sekali-sekala. Apatah lagi jika ia hanya diingat saat melihat bas ekspres jatuh ke dalam gaung yang dalam, ataupun saat pesawat MH1369 bergegar hebat kerana merempuh awan.

Kematian perlu diingat setiap jam, setiap minit, dan setiap saat. Kematian perlu diingat di saat berblog, di saat membaca dan membalas emel, di saat melayari internet, di saat makan nasi, di saat masuk ke tandas, di saat bermesyuarat di pejabat, dan di saat apa-apa pun.

Saya sampai di bumi Kelantan lebih kurang jam 4.00 petang. Bonda, Kak Ida, serta anak saudara saya Ibad dan Widad, menyambut saya dengan senyuman mekar.

Syukur kepadaMu Ya Allah kerana mengizinkan aku terus hidup dan dapat melihat wajah-wajah yang aku sayangi.

Syukur kepadaMu ya Allah, kerana kali ini aku masih sempat mengucup tangan bonda dan ayahnda sekali lagi.

Terima kasih, ya Allah!


Perisai Tiga : Ulam Pegaga, Kasih Ayah.

Hari terawal di kampung.

Saya sangat suka makan ulam pegaga. Dahulu, pernah sekali saya bawa pegaga yang bonda semai ke Kuala Lumpur. Malangnya, pokok pegaga itu mati. Mati sebelum tumbuh di pasu.

Kali ini, sekali lagi saya minta bonda semai pokok pegaga untuk saya bawa ke Kuala Lumpur. Juga saya minta sekampit tanah untuk dibawa ke Kuala Lumpur. Eh, di Kuala Lumpur, jika rumah tidak ada halaman, maka tanah untuk bertanam perlu dibeli, tahu? Lalu sebagai penjimatan, bawalah tanah sendiri dari kampung halaman.

Petangnya, saya lihat ayahnda bergegas ke belakang rumah. Ditemani salah seekor kucingnya yang sarat mengandung, saya lihat ayahnda tekun menyemai pokok pegaga yang terbaik untuk saya.

Mengapa ayahnda tidak ajar saya dan biarkan saya membuatnya sendiri? Semai dan cangkul tanah sahaja, bukan angkat batu besi.

Saya terharu.

Dahi ayahnda berkeringat. Saya terasa bahang kasih ayahnda mengalir bersama keringatnya yang membasahi tanah semaian, lalu menyemarakkan hijau pegaga dalam beg plastik semaian.

Ayahnda tidak kisah dengan dahinya yang berkeringat. Demi kasihnya kepada seorang anak!

Selesai menyemai pegaga, bonda sempat berpesan. Setiap pagi, amalkan minum air rendaman pokok pegaga bersama dengan akarnya dalam segelas air suam. Ini amalan kesihatan turun temurun orang melayu. Terima kasih atas petua bonda.

Wahai pokok pegaga, di Kuala Lumpur nanti, andai kau lihat aku alpa dan hampir kepada kemungkaran, maka ingatkanlah aku akan keringat ayahnda yang meresap di akarmu.

Keringat itu, tanda tulus kasih seorang ayah yang sentiasa mahu melihat kebaikan pada diri anaknya!



Perisai Empat : Kekal Dalam Neraka Selama-lamanya

Hari selasa, saya sempat mengikuti bonda dan ayahnda ke majlis ilmu.

Bertalaqqi Kitab Matan Jauharah Tauhid di bawah ajaran Tuan Guru Haji Abdul Hamid dari Pattani, hati saya tersentap apabila mendengar syarah beliau tentang ini :

Walaupun kita tidak tinggal sembahyang dan puasa, namun tetap kekal kita di dalam api neraka selagi keimanan kepada kalimah La ilahaillallah Muhammadurrasulullah tidak betul.

Bukan susah hendak melihat contoh orang yang keimanannya kepada kalimah agung itu masih tidak betul. Sembahyang dan puasa, tetapi dalam masa yang sama menyekutukan Allah dengan manusia ataupun undang-undang ciptaan manusia dan menghina sunnah nabi, sama ada secara lisan ataupun melalui perbuatan. Itu satu contoh yang muncul di benak saya.

Setengah jam berlalu. Saya pening dan menggaru-garu kepala. Kuliah tuan guru semakin sukar difahami. Apa tidaknya. Saya datang ke kuliah hanya setiap kali musim cuti. Justeru, masakan saya mampu memahami sepenuhnya syarah tuan guru tentang sifat Nafsiah, Salbiah, Ma’ani, dan Ma’anawiah bagi zat Allah.

Jisim, arad, jirim, 13 sifat wajib, 13 sifat mustahil, dan 1 harus bagi zat Allah. Itupun sudah berkali-kali ayahnda mengajar saya. Tujuan ayahnda memahamkan saya tentang zat Allah ialah kerana mahu saya mempunyai rasa takut yang sejati kepada Allah, bukan takut yang dibuat-buat atau takut ikut-ikutan. Sebabnya apabila manusia kenal Allah, maka dia akan takut kepada Allah. Apabila dia benar-benar takut kepada Allah, barulah dia akan berhati-hati dalam urusan dosa dan pahala.

Awwaluddin Makrifatullah. Awal agama itu ialah dengan mengenal Allah.

Lebih rumit, tujuan ayahnda ialah mahu menyelamatkan anaknya ini daripada jatuh dan kekal dalam api neraka selama-lamanya. Bukan senang hendak memahami ilmu dalam Kitab Matan Jauharah Tauhid ini. Sesungguhnya jika kita mahu benar-benar mengenal Allah, maka kita perlu belajar dengan penuh kesungguhan dan ikhlas.

Saya memandang bonda yang sedang tekun menghadap Kitab Matan Jauharah Tauhid di hadapannya. Dalam diam, saya kagum dengan bonda. Usia tidak pernah menghalang bonda daripada terus memburu ilmu. Pegangan bonda terhadap ilmu sama seperti ayahnda, bahawa ilmu itu ibarat air yang mengalir. Ia suci, lagi menyucikan.

Wahai bondaku, walaupun engkau tidak pernah habis bersekolah, tetapi sikap kecintaanmu kepada ilmu adalah inspirasi terhebat buat aku!





Perisai Lima : Sehingga Tua Menaburkan Jasa

Ini surau lama yang terletak lebih kurang sepuluh langkah di belakang rumah saya.



Melihatkan sisa tinggalannya yang semakin roboh, hati saya menjadi sayu.

Dahulu, semasa kecil, jarang sekali saya bersolat maghrib dan isyak di rumah. Maghrib dan isyak saya adalah di surau ini bersama rakan-rakan sekampung. Selesai solat maghrib berjemaah, pulang dahulu makan nasi, kemudian datang semula untuk sembahyang isyak berjemaah. Kadang-kadang bawa mentimun dan ratah ia bersama-sama Salmiah anak Haji Pa.

Suara adik saya, Shihabuddin kerap kedengaran di corong pembesar suara surau ini ketika melaungkan azan. Ayahnda pula kerap diminta naik menjadi imam. Waktu itu, saya seronok menjadi makmum.

Waktu bulan puasa, tidak pernah tidak ada moreh. Seronok makan berebut-rebut dengan rakan-rakan. Waktu solat sunat terawih dan berselawat pula, budak-budak lelaki akan melaungkan selawat kuat-kuat. Mat Rodi, Pok Man, Mat Jali, Mat Duan, dan Mat Kimi, itu adalah antara budak-budak lelaki yang suka melaungkan selawat sehingga nampak anak tekak.

Waktu pilihanraya, surau ini menjadi pentas ceramah. Paling saya ingat ialah tahun 1990. Tahun di mana saya mula mengenali serba sedikit erti politik, atau lebih tepat lagi erti politik dalam islam. Tahun di mana cinta saya kepada para ulamak mula berputik. Surau inilah saksinya.

Naik ke sekolah menengah, surau ini semakin jarang saya jenguk. Malu sebagai anak dara, lantaran beberapa kali tersedar pandangan tajam penuh bererti sesetengah anak muda kampung setiap kali saya ke surau itu, menghalang saya daripada kerap ke sana. Fitnah, sebaiknya dielakkan daripada awal. Hanya ketika solat sunat terawih sahaja saya tidak meninggalkan surau ini. Solat terawih berjemaah itu “wajib” bagi saya, walaupun ia adalah sunat bagi sesetengah orang.

Sehinggalah ketika saya di universiti, surau ini semakin usang dan akhirnya menanti masa untuk roboh. Lantaran ia dibina di atas tanah pinjaman seorang penduduk, maka pembaikiannya tidak diteruskan dan jemaah mula menumpu ke masjid kampung yang terletak tidak berapa jauh dari rumah saya.

Kini surau tua ini tidak beroperasi lagi. Namun, ia menjadi tempat berteduh haiwan-haiwan kampung yang mencari tempat perlindungan terutama di waktu hujan.

Saya mahu menjadi seperti surau tua ini. Walaupun semakin tua dan hampir roboh, namun ia masih tetap mahu memberi jasanya kepada makhluk Allah di muka bumi.

Malah, saya yakin, ketika ini pun tiang-tiang dan dinding-dinding surau yang semakin reput ini masih tidak jemu-jemu mengungkap zikir memuji keagungan Allah.

Subhanallah, andai saya dapat mendengar zikir-zikir mereka...


Perisai Enam : Batu Tungku dan Kasih Bonda


Sauna sepuluh ringgit. Itu kos satu kali sauna di sebuah salun di kampung saya. Setiap kali pulang ke kampung, saya tidak akan melepaskan peluang bersauna di salun itu.

Di Kuala Lumpur, kos sekali bersauna dengan adunan wap rempah yang sama dengan salun di kampung saya, harganya hampir tiga puluh ringgit. Sepuluh ringgit berbanding tiga puluh ringgit. Saudara pun tahu membezakannya, bukan?

Selesai bersauna, sakit pinggang saya tetap tidak berkurang.

“Aku dahulu selalu duduk atas api. Setiap kali selepas bersalin, duduk atas api. Mana pernah sakit-sakit pinggang macam kamu ini, ” bonda memberitahu rahsianya yang bukan rahsia lagi kerana sudah kerap kali diulang-ulang.

Duduk atas api?

Aduhai bonda, zaman ini, hendak cari di mana rumah yang ada gelegar dengan tungku api di bawahnya? Jika ada, saya pun rela duduk di atas gelegar itu, agar segala urat dan sendi saya yang tegang kembali pulih dek kehangatan haba api itu.

Masalah utamanya, saya ini setiap hari tidak duduk di atas gelegar api, sebaliknya saya duduk dalam peti ais. Hawa pejabat yang membekukan daging dan tulang saya yang kecil ini. Jadi, janganlah hairan jika saya ini sering mendapat sakit.

Malamnya, bonda membakar batu tungku. Kemudian, bonda menungku seluruh badan saya, terutama di bahagian pinggang. Sambil itu, mulutnya berbunyi-bunyi, bimbang dengan keadaan diri saya yang banyak penyakit ini.

Kifarat dosa, bonda. Saya menyimpulkan bebelannya.

Bonda terus menungku tanpa jemu. Sesekali saya rasa seperti orang yang baru lepas bersalin pula.

“Itulah, dulu kuat sangat main Taekwondo. Malam esok, kita pergi berurut dengan Mak Su Ani pula,” bonda membuat keputusan.

“Mak Su Ani tu bagus, bukan urut semata-mata. Ada doa-doa yang dia sekalikan,” kata bonda lagi.

“Boleh tak Kak In nak bawa batu tungku ini pergi Kuala Lumpur?” saya bertanya bonda.

“Ish, beli sahajalah beg air panas. Satu hal pula kamu hendak bawa batu berat ini naik kapal terbang!” bonda serius.

Saya senyum. Saya tahu bonda sangat sayangkan saya. Terima kasih, bonda.

Di rumah Mak Su Ani, saya menggeriut sakit apabila seluruh sendi dan urat diurut-urut. Mak Su Ani pula ramah bersembang, mungkin kerana mahu mengalih perhatian saya daripada terlalu menumpukan kepada rasa sakit itu.

“Kak Ani tak dapat halang anak kak Ani hendak behenti belajar. Dia berhenti selepas SPM dan kerja jual burger di bandar. Tetapi hairan juga, tiba-tiba satu hari dia balik ke kampung beritahu Kak Ani dia mahu sambung belajar. Rupa-rupanya, disebabkan semasa di bandar dia duduk menumpang di asrama universiti tempat abangnya menginap, maka di situ dia tiba-tiba naik semangat apabila melihat kehidupan budak-budak universiti. Katanya dia mahu jadi seperti abangnya dan rakan-rakan abangnya yang berjaya.”

Itu cerita panjang Mak Su Ani ketika mengurut seluruh badan saya.

Apapun daripada ceritanya, saya memperolehi satu pelajaran moral. Persekitaran dan rakan sebaya memang menjadi faktor penting dalam mempengaruhi cara berfikir dan sikap para remaja.

Justeru, jika kita punya anak, selidikilah siapa rakan-rakan mereka. Pastikan mereka duduk dalam persekitaran yang baik dan dapat mendorong mereka bersikap dengan sikap orang yang berjaya.

Yang pasti, sebagai ibu bapa kita harus tahu, mengajar dan mendidik anak-anak adalah dua perkara yang amat berbeza. Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan. Menunjukkan contoh perangai yang baik, adalah satu kaedah dalam mendidik anak-anak.

Anak-anak, adalah pelaburan kita untuk kehidupan akhirat. Maka, pastikanlah ianya satu pelaburan yang menepati syariat, agar hasilnya dapat kita tuai di akhirat.


Perisai Tujuh : Amal Tanpa Ilmu, Maka Syaitanlah Guru


“Jahat, dah berapa tahun dah yahudi ni duduk kat Palestin...” ungkapan itu terkeluar ketika saya melihat berita terkini tentang serangan yahudi ke atas kapal bantuan Mavi Marmara ke Gaza.

“Memang lama. Sejak tahun 1948. Sekarang dah berapa tahun?” ayahnda membalas kata-kata saya.

“Negara-negara Islam susah sangat hendak bersatu-padu,” saya menyambung.

“Jahat lagi ada. Tengok sahaja Mesir, apa yang dibuatnya kepada Palestin, saudara seagamanya? ”

Saya memandang ayahnda. Dalam isu ini, memang ayahnda jauh mengatasi saya. Malah, dalam ilmu tauhid, balaghah, sejarah, agama dan politik pun, ayahnda lebih hebat ilmunya. Ayahnda bijak berbicara dalam banyak hal, kecuali dalam hal-hal sains dan komputer (hehe).

Bonda pernah memberitahu, kadang-kadang bonda risau dengan ayahnda. Apa tidaknya, ayahnda gemar ke gerai surat khabar dan wakaf-wakaf di kampung itu untuk berdakwah secara tidak langsung. Ramai sekali orang yang kalah dan menjadi bisu dengan hujah ayahnda, sehinggakan ada pula orang yang naik marah, terutama apabila ayahnda mengetengahkan kehendak-kehendak islam dalam isu berpolitik.

Politik adalah isu yang bukan main-main di Kelantan. Inilah yang merisaukan bonda. Bonda risau apabila kerapkali ayahnda menang dalam mengetengahkan hujah-hujah benarnya sehinggakan ada orang kampung yang naik marah kerana tidak mampu membalas hujah ayahnda.

“Pak Teh tak payah banyak cakaplah. Saya ni belajar sampai universiti, lebih pandai dari Pak Teh.”

Itu salah satu ungkapan yang pernah keluar dari seorang anak muda kepada ayahnda. Ungkapan yang menghina seorang tua yang hanya belajar setakat darjah tiga.

“Kita baca surat khabar ni bukan apa, aji. Yalah, kita pun hendak tahu, siapa yang menipu, siapa yang kena tipu,” itu pula jawapan ayahnda apabila ada seorang penduduk kampung yang menganggap ayahnda suka sangat membaca surat kahabar tanpa ambil tahu hal-hal lain.

Tetapi saya arif, tujuan ayahnda bukan mahu berbalah atau suka-suka berdebat. Tujuan ayahnda ialah mahu berdakwah. Sebab itu di mana-mana sahaja, mulut ayahnda tidak akan terlepas dari bercakap tentang hal agama. Malah, itu juga pesannya kepada saya sepanjang masa.

“Pastikan setiap saat, hidup kita ini sentiasa berada dalam kebajikan. Jika tidak berzikir berselawat, pastikan mulut yang sedang bercakap itu tidak lari daripada bercakap tentang ilmu dan dakwah. ” Itu pesanan ringkas dan padat ayahnda yang terlalu besar maknanya.

Berbeza dengan bonda. Bonda dijemput mengendalikan kelas tazkirah khas kepada remaja-remaja di kampung saya. Dakwahnya disalurkan dalam suasana yang formal, sejuk, dan tenang. Tetapi ayahnda, setiap hari beliau berdakwah dalam suasana yang tegang dan panas. Bonda pula risau jika amarah orang kepada ayahnda membawa kepada perkara yang tidak diingini.

Ya, bonda risau, kerana suatu masa dahulu, saya, abang, dan kakak-kakak saya pernah dinafikan hak @ dianiaya orang hanya kerana mereka marah dan tidak suka kepada ketegasan pendirian dan hujah ayahnda.

Tetapi, itulah ayahnda. Walaupun dibenci, dituduh sebagai bapak setan, dan dikata macam-macam, namun setiap hari, setiap masa, ayahnda tidak pernah jemu menyampaikan ilmu dan dakwahnya. Kepada rakan-rakan, anak-anak, sanak saudara, cucu-cucu kesayangannya, kepada penduduk kampung, malah kepada orang yang tidak dikenalinya pun.

Petang itu, ayahnda membawakan satu cerita kepada saya. Cerita orang yang beramal tanpa ilmu. Cerita benar dan tidak direka-reka.

Suatu hari, ayahnda bertemu seorang penduduk kampung yang memang sudah dikenalinya sebelum ini. Lelaki itu, berserban, berjubah labuh dan memegang tasbih panjang sambil berzikir. Ayahnda mendekat, memberi salam dan menegur.

“Tengah buat apa tu?” tegur ayahnda berbasa-basi.

“Berselawat,” lelaki itu menjawab pendek.

“Oh, apa selawat yang dibaca tu?” ayahnda sekadar bertanya.

“Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah wallahuakbar...” balas lelaki itu dengan yakin.

Ayahnda menepuk dahi.

Di sinilah gunanya ilmu dan dakwah ayahnda. Dan apabila ayahnda bercakap, bukan kerana tujuan lain, tetapi hanya mahu menegur ke arah kebaikan, dan mengajak keluar daripada kemungkaran.

Itulah bahana beramal tanpa ilmu dan tanpa guru. Beramal tanpa ilmu dan guru, syaitan juga suka sekali hendak mencelah. Dengan pertolongan Allah, kita berlindung daripada syaitan yang direjam.


Kembali Ke Kuala Lumpur.

12 Jun 2010, saya kembali ke Kuala Lumpur.

Di atas angkasa, sekali lagi pesawat MH1405 bergegar merempuh awan.

Sesungguhnya saya yakin, kematian itu tidak semestinya ketika berada di dalam pesawat MH 1405. Kematian itu sentiasa mengejar saya tiap jam, tiap minit, tiap saat. Kematian itu ada di mana-mana, hatta di hadapan laptop Acer yang sedang saya hadap ini sekalipun.

Masuk ke pejabat, saya menerima beberapa kejutan.

Pertama, takziah saya ucapkan kepada rakan seunit saya, Raihan atas pemergian bondanya yang tecinta. Doa saya semoga Allah merahmati roh bonda beliau. Semoga Raihan sabar dan tabah menghadapi ujian ini.

Sesungguhnya mati itu ialah sesuatu yang sangat pasti.

Kedua, khabar angin selama ini rupanya benar. Jika sudah jodoh, memang tidak akan ke mana-mana.

Kak Zu dan Mat Sah, akhirnya mengikat janji untuk menjadi keluarga dengan gelaran ibu mertua dan menantu. Mat Sah, juruteknik saya diam-diam bercinta dengan anak Kak Zu, di mana Kak Zu itu juga juruteknik saya!

Mat Sah sebaya dengan saya manakala Kak Zu pula lebih tua daripada saya. Di pejabat, partition mereka sebelah menyebelah sahaja. Jika saya bercakap dengan Kak Zu, Mat Sah akan dapat mendengar dan jika saya bercakap dengan Mat Sah, Kak Zu juga dapat mendengarnya. Personaliti mereka jauh berbeza. Jika partition Kak Zu ibarat konti radio, tetapi partition Mat Sah pula seperti tanah kubur.

Inilah yang dikatakan ikan di laut, asam di darat. Di dalam kuali, bertemu juga. Jika sudah jodoh ditentukan Allah, jiran di sebelah pertition pun jadi menantu!

Ketiga, sedih sekali.

Juruteknik saya yang sangat pakar dan berbudi bahasa, dan sebaya dengan saya iaitu Ady, telah dapat bertukar ke Kementerian Perumahan dan dapat balik ke kampung halamannya di Terengganu. Beliau bakal meninggalkan saya, bosnya dan juruteknik-juruteknik lain.

Saya berasa sedikit kehilangan, kerana Ady adalah juruteknik yang amat saya senangi. Budi bahasanya yang baik, kepakaran teknikalnya yang hebat, dan tidak pernah sekalipun budak ini kurang ajar dengan saya, sedangkan ketika pertama kali mendapat tahu dia akan menjadi anak buah saya di pejabat, hati saya kecut melihat wajahnya yang garang dan sombong!

Kepada Ady, saya ucapkan selamat berjaya di tempat baru. Semoga kejayaan dunia dan akhirat menjadi milik Ady.

Keempat, lebih menyedihkan saya.

Saya dimaklumkan juruteknik saya yang baik, Aisyah sudah keluar dari hospital tetapi masih bercuti sakit.

Aisyah masih muda, masih perlukan bimbingan, dan masih mencari-cari erti hidup. Saya menganggap Aisyah seperti adik saya sendiri. Doa saya semoga Allah menguatkan jasad dan rohani beliau dalam menghadapi kesakitan dan tekanan-tekanan hidup di sekelilingnya, amin.


Tujuh Perisai

Manusia merancang, dan Allah juga merancang. Sesungguhnya perancangan Allah itu adalah yang terlebih baik.

Coretan panjang tidak semestinya ia penuh terisi. Namun, semoga apa yang telah saya perolehi sepanjang tujuh hari ini, baik ataupun buruk, akan menjadi ilmu yang menyuluh jalan perjuangan yang masih panjang dan berliku ini.

Selamat berkongsi. Sesungguhnya hanya Allah yang lebih mengetahui.

No comments:

Post a Comment